BACA: Gempa bumi di utara Sumatera, gegaran dirasai di Semenanjung Malaysia



JAKARTA: Semua pelajar Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan Medan di Sumatera Utara, kira-kira 7.20 malam waktu tempatan.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Amizal Fadzli Rajali ketika dihubungi Bernama berkata, gempa itu sememangnya dirasai kuat dan gegarannya berlaku dalam beberapa saat sahaja.

"Pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kejadian buruk berlaku dan tiada bangunan yang rosak manakala para pelajar kita ketika dihubungi pula menyatakan mereka berada dalam keadaan tenang dan selamat," katanya.

Media-media dalam talian melaporkan orang ramai yang berada di pusat beli belah dan hotel-hotel bertingkat tinggi di Kota Medan panik dengan gegaran itu dan bertempiaran lari keluar dari bangunan.

Terdapat 1,100 orang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti di Sumatera Utara.

Menurut laporan Badan Meteorlogi, Klimatologi dan Geofisika (BKMG) gempa itu berlaku dua kali di kedalaman 10 kilometer dalam laut berdekatan Deliserdang di Sumatera Utara.

Gempa pertama berukuran 3.9 pada skala Richter berlaku pada 7.13 malam diikuti gempa kedua berukuran 5.6 pada skala Richter.
Gempa itu dirasakan di beberapa daerah termasuk Medan, Deliserdang, Binjai dan Karo serta beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang.

-- BERNAMA