Sedar akan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia, pelawak Nabil Ahmad, 33, telah mula membayar cukai hasil pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak 2012 lagi. Bukan sedikit, sebaliknya dihitung dibilang, kira-kira hampir RM500,000 sudah dilangsaikan kepada agensi kerajaan itu sejak tiga tahun lalu.
Memulakan karier sebagai artis pada 2009, Nabil memberitahu Mega HITS, dia juga sudah menjelaskan tunggakan pembayaran tersebut yang mula dikira sejak pembabitan sebagai anak seni.
“Ya, sebelum ia jadi masalah yang serius, saya buat keputusan untuk menunaikan tanggungjawab itu dengan hati penuh rela. Saya tidak melihat pembayaran cukai ini sebagai satu beban, sebaliknya sentiasa beringat bahawa dalam setiap pendapatan atau rezeki yang diperoleh, terdapat hak orang lain di dalamnya.
“Sebab itulah ketika mendapat surat daripada LHDN untuk arahan pembayaran, saya terus bertindak pergi berbincang dengan mereka dan mengatur pembayaran perlahan-lahan.
“Ini kerana pada 2012 itu, saya sudah pun punyai tunggakan selama tiga tahun, ada sedikit proses yang perlu saya selesaikan terlebih dahulu,” katanya yang hadir ke Studio Utusan mempromosikan filem Bo-Peng.
Menganggap ia salah satu cara untuk beramal jariah, Nabil melakukannya dengan rasa yang sama seperti membayar zakat. Dengan keikhlasan dengan memperuntuk sebahagian rezeki kurniaan-Nya untuk kepentingan bersama, Nabil percaya ia mampu membantu membangunkan negara yang dicintai ini.
Justeru, dalam masa yang sama, Nabil juga mengingatkan artis-artis muda agar jangan mengambil mudah atau ambil lewa isu pembayaran cukai. Ini demi melancarkan perjalanan karier mereka sendiri pada masa hadapan.
“Hakikatnya, selagi kita memegang status warganegara, jangan harap boleh terlepas daripada tanggungjawab membayar cukai. Kita tak boleh nak lari ke mana-mana pun, lambat atau cepat akan kena bayar juga.
“Kita perlu jadikan beberapa kes artis-artis lain sebagai pengajaran. Kita ambil iktibar daripada kes-kes yang pernah berlaku sebelum ini,” tambahnya memberi peringatan.
Kembali jadi despatch
Sementara itu, menceritakan perkembangan dalam bidang lakonan, Nabil akui semakin kurang berlakon dek minatnya yang lebih mendalam sebagai hos rancangan TV.
Bagaimanapun, demi menjamin kedudukan supaya bertahan lama di lapangan seni tanah air, dia akur kepentingan platform lain yang memainkan peranan tersendiri mengekalkan momentum diri, selain di pentas pengacaraan.
Justeru, selepas sekian lama tidak tampil di layar perak, terkini Nabil bergandingan dengan Johan As’ari menerajui filem Bo-Peng, terbitan syarikat produksi Pencil Pictures & Records yang bakal ditayangkan pada 22 Disember nanti.
“Dalam filem ini saya sebagai Bo dan Johan pula bernama Peng memegang watak selaku budak despatch menghantar piza. Ia sebuah karya komedi sama seperti lakonan saya terdahulu.
“Saya hanya menjadi diri sendiri selain berperanan membantu Johan menyerlahkan sisi humor yang ada dalam dirinya. Ia berkisar tentang kisah dua mat despatch yang mahu menyiasat gerangan gadis empunya suara yang selalu menghubungi mereka untuk membuat pesanan piza.
“Jadi bermulalah adegan aksi dan lucu sepanjang tempoh penyiasatan mereka apabila secara tidak sengaja terserempak dengan seorang gengster yang psiko,” ceritanya berkongsi sinopsis.
Selain Nabil dan Johan, filem arahan Helmi Yusof itu turut dibintangi Wanna Ali, Zulin Aziz, Kilafairy, Soffi Jikan dan Ellie Suriati.