Intan Ladyana.
Tidak mengetahui bagaimana kisah tersebut boleh muncul, Intan menganggap perkara yang disebarkan sebagai tidak berasas. Baginya perkara tersebut tidak ada kaitan dengan dirinya dan menganggap semua itu hanya salah faham pihak lain.
Pada masa sama, wanita ini enggan mendedahkan siapakah gerangan yang bertakhta di hatinya ketika ini. Meskipun ditebak beberapa kali, dia lebih selesa mengunci mulut daripada mendedahkan rahsia hati yang disimpan.
“Kalau boleh saya memang tak mahu mendedahkan dengan siapa saya berkawan sekarang. Cukuplah dahulu (kisah cinta lama) diketahui umum dan perkara tersebut benar-benar memberikan pengajaran buat saya secara peribadi.
“Sekarang biarlah saya sendiri sahaja yang mengetahuinya dan bila tiba masanya nanti pasti saya akan kongsikan. Rasanya itu yang terbaik daripada terus bercerita perkara yang tak perlu,” ungkap pelakon yang popular dengan filem Banglo Berkunci ini lagi.
Akuinya, dia hanya bercadang untuk mendedahkan perkara tersebut sekiranya sudah bersedia untuk berumah tangga nanti. Buat masa ini Intan lebih selesa berahsia dan menunggu masa yang sesuai sahaja.
Tambahnya, soal jodoh bukan satu hal yang remeh dan dia sendiri sudah mempelajari beberapa pengajaran berguna sebelum ini dan enggan mengulanginya lagi.
Bercerita mengenai perkembangan terkini, Intan memberitahu yang dia mahu memberikan tumpuan kepada perniagaan pakaian yang baru sahaja diusahakan.
Memilih koleksi pakaian seperti kaftan, jubah dan beberapa pakaian sopan yang lain sebagai keutamaan, tentu sekali memberinya pengalaman baharu untuk mengemudi jenama sendiri.
Bagaimanapun, awal-awal lagi dia menolak tanggapan ditaja seseorang untuk mengusahakan rangkaian perniagaan sendiri memandangkan semuanya dilakukan secara telus.
“Tidak ada siapa yang taja bisnes saya ini. Semuanya dilakukan sendiri dan saya sebenarnya bergandingan dengan Desa Murni Batik dalam mengeluarkan jenama pakaian sendiri.
“Semua idea dan rekaan saya lakukan bersama-sama pihak tersebut. Jadi tidak timbul isu ditaja oleh sesiapa. Jangan salah faham,” tegasnya lagi.
Memperlahankan sedikit rentak dalam dunia lakonan, dia mengambil masa yang ada untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang tersebut. Baginya ketika ini adalah masa bagi mempromosikan jenama tersebut untuk diterima ramai.
Selesa
HAMPIR sedekad membelah badai sebagai anak seni sebenarnya sudah cukup mematangkan dirinya. Menganggap perjalanan yang dilalui sebagai satu pengalaman berharga, pelakon filem Adnan Sempit ini tidak pernah menganggap kehadiran ramai muka-muka baharu sebagai satu ancaman sebaliknya perkembangan yang sihat buat industri seni tanah air.
“Saya juga pernah mengalami situasi yang sama apabila menyertai industri ini dahulu.Situasinya sama sahaja, apabila orang baharu hadir dan saya sudah berada dalam kelompok sedikit senior.
“Dalam hal begini tiada yang perlu ditakutkan dan jangan sesekali menganggap tawaran kita akan berkurangan.
"Saya percaya rezeki untuk saya masih ada asalkan terus mempamerkan lakonan yang baik,” tambahnya.
Pun begitu, Intan sudah ‘menghadam’ kitaran turut naik hayat seseorang pelakon sepertinya sejak dahulu. Katanya roda akan terus berputar dan dia perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Agak sukar untuk bertahan lama apabila duduk di atas. Tapi kena ingat juga, masih ramai orang lama yang mampu bangkit kembali dan berada di kemuncak dengan produk yang berkualiti. Sebab itu jangan sesekali mempersia-siakan peluang yang ada,” katanya yang sedang menantikan tayangan telefilem berjudul Anda Telah DiPrank yang bergandingan dengan Aizat Hassan, Dayang Areeda dan Sue Nazir.
Menariknya, telefilem psiko seram berkenaan benar-benar menguji kemampuannya memandangkan banyak plot penceritaan yang berbeza dengan kebanyakan naskhah yang pernah dilakonkan sebelum ini.