JAUH di sudut hati, sebenarnya sudah lama pelakon Saharul Ridzwan menyimpan hasrat untuk berlakon filem sebagai satu lagi penanda aras dalam kerjaya seninya.
Namun entah mengapa, seakan-akan sukar untuk dia menukar persepsi pihak penerbit dan pengarah yang masih lagi melihat dirinya di taraf 'pelakon drama’ sehingga tidak berani mengambil risiko untuk menawarkannya watak di layar perak.
Bagaimanapun itu bukan satu halangan buat Saharul untuk terus berputus asa kerana dia sebenarnya sudah pun memulakan langkahnya dalam dunia filem menerusi filem berjudul Hantu Rumah Sakit Jiwa arahan Michael Ang.
Cuma filem itu masih belum menemui penonton dan 'diperam’ walau sudah pun selesai menjalani penggambarannya sejak tahun lalu.
Mahu dilihat sebagai seorang yang sentiasa positif, kata pelakon berusia 27 tahun ini, tentu sekali sebagai seorang pelakon, dia ingin mencari kepuasan dalam kerja yang dilakukan dan sesiapa sahaja tentu berasa bangga andai dapat terlibat dalam projek filem selepas sekian lama mengasah bakat dalam naskahdi layar kaca.
“Saya sebenarnya mencari kepuasan. Saya sudah terbabit dengan drama dan biasanya drama memerlukan saya mencari tempoh masa yang lama untuk menjiwai watak yang diberikan.
“Sementara untuk watak dalam telefilem biasanya dalam lapan hari saya boleh fokus dengan watak yang diberikan.
“Saya sedar sekarang ini ramai pendatang baharu dan kita pun nak bersaing dengan sihat dan bagi saya, cara persaingan yang sihat adalah menerusi kualiti dalam lakonan yang termampu saya berikan,” katanya.
Masih menunggu lampu hijau mengenai tayangan filem arahan Michael Ang tersebut, kata Saharul, dia sememangnya menaruh harapan kepada filem tersebut meski sekadar sebuah naskah ringan iaitu komedi seram.
“Terus terang saya memang berharap jugalah menerusi langkah pertama saya dalam filem ini. Sudah lama sangat saya tunggu, sejak tahun lepas lagi," katanya yang mengakui filem tersebut bukan genre yang diingininya.
Ingin membuat kemunculan pertama dalam filem menerusi genre aksi namun kata Shaharul, nampaknya rezeki itu belum berpihak kepadanya.
“Bagi saya orang filem ada skop sendiri, drama juga ada skop sendiri. Jadi orang macam saya, selagi tak keluar filem, orang filem tak akan nampak saya.
“Sasaran saya ialah untuk berlakon dalam filem aksi satu hari nanti. Saya sedar semuanya harus bermula dari bawah, saya anggap itu sebagai satu cabaran untuk saya mengorak langkah lebih jauh dalam industri.
"Pada masa yang sama saya gilap lagi kredibiliti saya dalam bidang lakonan,” katanya.
Rezeki
Sentiasa percaya bahawa rezeki untuknya ada, Saharul juga menaruh harapan untuk berkembang maju dalam bisnes yang diusahakan termasuk perkara-perkara lain dalam hidupnya.
Berbicara mengenai soal rezeki, Saharul yang berkahwin dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 16 September lalu bagaimanapun masih belum 'sudi‘ untuk berbicara mengenai perihal kehamilan isterinya meski sudah timbul desas desus mengenainya.
Barangkali menganggap perkara itu terlalu peribadi atau terlalu awal untuk dikongsikan kepada umum, Saharul lebih selesa untuk tidak bercakap banyak mengenai hal tersebut meski nada suaranya seakan-akan mengiyakan berita kehamilan tersebut.
“Insya-Allah, kalau ada saya akan beritahu kepada semua. Saya akan cari masa yang betul-betul sesuai dan akan uar-uarkan kepada semua.
“Saya bukan nak sorok atau apa cuma bagi saya belum masanya lagi untuk saya berbicara mengenainya.
“Apa pun, saya minta agar semua pihak mendoakan yang terbaik dan semuanya berjalan dengan lancar dan saya dimurahkan rezeki.
"Maklumlah, pertama kali saya mengalami situasi begini,” katanya.
Tidak menolak selepas berkahwin rezekinya semakin melimpah ruah, kata Saharul:
“Betul yang orang selalu kata, rezeki lepas kahwin itu memang ada. Terma rezeki juga tak tertumpu satu saja, ada orang dikurniakan rezeki bisnes, kerjaya, anak dan sebagainya.
"Yang saya perlu lakukan adalah percaya bahawa Allah SWT itu akan kurniakan rezeki."
saya sedar semuanya harus bermula dari bawah, saya anggap itu sebagai satu cabaran untuk saya mengorak langkah lebih jauh dalam industri