Ardell Aryna 
Paling menyesakkan sudah tentu apabila namanya diheret dengan isu pengkid seperti yang diperkatakan dan tuduhan sebagai wanita yang berperwatakan seperti lelaki itu tentu sekali meresahkan dirinya.
Memotong rambut pendek, gemar memakai seluar jeans, berkemeja t dan mengenakan topi sudah menjadi identiti diri Ardell. Perubahan yang dilakukan itulah sebenarnya membuatkan khalayak mula mempersoalkan mengapa dia tidak seperti kebanyakan pelakon wanita lain yang lebih ayu.
Bukan sekali dua perkara tersebut dibangkitkan namun sehingga hari ini masih tiada kesudahan apabila perkara yang sama diulang-ulang sehingga menimbulkan stigma buruk kepada empunya diri.
Bagi wanita ini, dia sudah kuat untuk menghadapi tohmahan demi tohmahan yang dilemparkan orang terhadap dirinya. Namun perkara berkenaan tidak menjadi kudis kepada emosinya memandangkan perkara itu bukan isu baharu.
“Ya, dulu saya pernah mengalami kemurungan akibat isu pengkid. Orang meninggalkan pelbagai komen di laman sosial sehingga membuatkan saya rasa tersisih.
“Kebanyakan yang meninggalkan komen berbaur negatif adalah peminat lelaki. Macam-macam mereka tulis sehingga membuatkan saya bersedih. Tapi sekarang tak ada masalah lagi sebab perkara tersebut sudah (dapat) dilalui dengan tenang,” kata Ardell.
Dia yang menjengah usia 26 tahun ini juga menganggap segala-gala beban yang ditanggung bagaikan hilang saat melihat semangat yang diberikan oleh keluarganya sepanjang isu tersebut diperkatakan.
Tentu sahaja berita yang kurang manis itu memberikan kesan negatif kepada keluarga namun mereka tidak pernah menyalahkan dirinya seratus peratus.
Menjadikan bahu ibunya sebagai tempat menyandarkan lelah dan bercerita tentang hal yang berlaku, semua masalah bagaikan hilang ketika mendengar wanita yang amat dikasihinya itu menitipkan azimat.
“Selain ibu, saya banyak berkongsi cerita dengan adik lelaki saya. Merekalah yang menjadi tempat saya meluahkan perasaan saat orang menjadikan isu peribadi sebagai kecaman ke atas diri saya.
“Tapi berselang masa, saya semakin kuat. Kalau sekarang orang nak kecam atau kutuk, silakan. Saya tak ada masalah untuk menghadapinya. Semangat saya semakin kental,” ungkap heroin filem CCTV ini lagi.
 Keyakinan
BAGI mereka yang mengikuti perkembangan wanita ini, Ardell pernah muncul dengan imej ayu berambut panjang pada awal kemunculannya dulu. Namun sejak membintangi drama berisi Aku Bukan Bimbo yang menjalani penggambaran setahun lalu, dia mula mengubah penampilan seiring dengan kehendak skrip.
“Sebenarnya saya memotong rambut kerana mengikut kesesuaian skrip. Ketika itu saya berperanan sebagai kembar dengan Falisha Crossley (pelakon) yang tidak seiras.
“Rentetan dari situ, saya merasakan imej berambut pendek lebih menyerlah dan mudah diurus. Tidak seperti berambut panjang yang memerlukan penjagaan rapi. Malah saya rasa imej sekarang lebih menyerlah,” kata Ardell membuka rahsia.
Namun katanya, dek perubahan imej itulah yang membuatkan dia berterusan dilabel sebagai pengkid sehingga kini.
Mengharapkan cerita yang sama tidak akan diulang lagi seiring dengan perubahan imej yang mahu ditampilkan, Ardell saat ditanya mengapa dia kurang menyerlah berbanding beberapa nama pelakon seangkatan yang lain, wanita ini mempunyai jawapan tersendiri kenapa perkara tersebut terjadi.
Meskipun keluar dengan banyak produk lakonan termasuklah menyerlah dalam bidang pengacaraan antaranya mengemudi program Cheerleading dan Dive, dia menganggap sikap malu dan kurang yakin diri membataskan dirinya.
“Minta maaf saya memang jarang muncul dalam banyak acara hiburan tanah air. Selalunya ada yang tak kena dengan masa dan tak kurang juga kerana perasaan malu masih menebal dalam diri.
“Saya tahu artis tanah air kena muncul menyertai acara hiburan tapi dahulu saya pernah melalui fasa kurang yakin. Saya risau kalau kehadiran saya tak diterima dan bermacam-macam perasaan kurang enak yang lain.
“Tapi sejak akhir-akhir ini saya cuba membuang perasaan negatif itu. Sebagai anak seni tak bolehlah saya membiarkan perasaan tersebut menguasai diri. Mahu atau tidak saya kena ke hadapan bertemu khalayak,” katanya berterus-terang.
Tambah pelakon yang bernaung di bawah pengurusan Prokuya Studios ini, dia bertuah kerana mereka yang bertanggungjawab menjaga jadual seninya banyak memberikan semangat dan sokongan untuknya mencari keyakinan diri.
Banyak nasihat dan kata-kata perangsang yang dititipkan oleh mereka untuk mengembalikan semangat juang bagi menerobos industri seni dengan bakat yang dimiliki.
Rezeki

MENGANGGAP rezekinya tidak pernah tersekat dengan berita yang kurang enak, Ardell bersyukur kerana peluangnya meneroka bidang seni terbuka luas. Percaya cerita-cerita negatif yang melatari perjalanan seninya tidak menganggu malah tetap diberikan banyak peluang sejak akhir-akhir ini.
Bakal muncul dengan beberapa buah filem termasuklah Dorm Melati dan Surfing This Love tidak lama lagi, Ardell kini mampu menarik nafas lega apabila bakat mengacara yang dimiliki semakin diterima ramai.
Paling baharu dia yang bergandingan dengan Elfira Loy dan Sherry Alhadad gembira melihatkan sambutan peminat terhadap rancangan Extreme Road Trip yang sedang ditayangkan ketika ini.
Sesuai dengan jiwa lasak yang ada dalam dirinya, pelakon yang pernah membintangi drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia menganggap peluang yang diberikan begitu besar maknanya.
“Saya sebenarnya sudah pernah mencuba bidang pengacaraan melalui beberapa program. Tapi peluang tak selalunya ada dan saya alihkan tumpuan kepada bidang lakonan pula.
“Tapi apabila diberikan tawaran untuk mengacarakan rancangan ini, tentu sahaja saya tidak menolak apatah lagi melibatkan perjalanan dari satu destinasi ke destinasi berbeza. Selain itu banyak juga aktiviti lasak yang kami cuba,” kata Ardell teruja.
Mengharapkan penonton akan meminati cara mereka bertiga mengendalikan program berkenaan, tentu sahaja konsep dan kendalian yang ditonjolkan kali ini berbeza berbanding program lain.
Bercerita mengenai aktiviti lain pula, dia mampu menarik nafas lega apabila mengeluarkan set penjagaan kulit sendiri di bawah jenama Ardell Beauty sejak beberapa bulan yang lalu.
Dia kini juga bakal mengeluarkan set penjagaan bagi kaum lelaki di bawah jenama Ardell Kacak’s.
“Jika tidak berada di set penggambaran, saya akan memberikan tumpuan kepada bisnes yang baru berusia setahun ini. Setidak-tidaknya ini akan menjadi bekalan saya pada masa depan,” tambahnya.